Hit enter after type your search item
Kau Insan Mulia

Sembang dan Jual Apa Saja

Home / Aku Sembang Lebih / My First Time

My First Time

/
/
/

Semua insan telah dilahirkan ke dunia suatu waktu dahulu. Sebagai bayi, tiada siapa yang ingat akan apa-apa, kau mahupun aku tiada idea langsung tentang peristiwa semasa masih bayi. Bilakah masanya kau mula mengingati sesuatu benda atau peristiwa? Entah, aku pun tidak tahu.

Bermula daripada hari kelahiran kau, setiap perkara yang kau buat mesti ada kali pertamanya. Kali pertama kau mula makan nasi, kali pertama kau menyebut perkataan, kali pertama kau merangkak atau kali pertama kau dimarahi ibubapa. Begitu banyak ‘kali pertama’ pada setiap insan.

Tersangat banyak perkara yang menjadi ‘kali pertama’ semasa kau masih bayi, kemudian membesar menjadi kanak-kanak, tiba-tiba telah meningkat remaja dan seterusnya telah bergelar orang dewasa. Peristiwa ‘kali pertama’ tidak akan berakhir sekalipun setelah menjadi opah atau moyang. Kehidupan di dunia yang fana ni, kali terakhir kita akan merasa pengalaman dan peristiwa ‘kali pertama’ adalah ketika malaikat maut merenjut nyawa kita.

Baiklah. Sebagai perkongsian dengan kau insan mulia, aku memerah otak untuk mengingati bermacam-macam ‘kali pertama’ buat diriku. Senarainya memang lah tidak berapa lengkap sebab tersangat banyak ‘kali pertama’ dalam hidup ini yang sudah tidak ingati.

Semua gambar adalah hiasan semata-mata hanya untuk menjadikan sembang aku ni lebih infomatif.

boy-563810_1280
Berbasikal umur 7 tahun – Hiasan

BERBASIKAL – sewaktu umurku 7 tahun. Ayah membelikan aku sebuah basikal untuk dikongsi dengan seorang abangku. Saiznya yang tidak besar memudahkan kami berdua belajar menyeimbang badan dan berbasikal buat KALI PERTAMA.

KEMALANGAN – sewaktu umurku 10 tahun, semasa melintas jalan setelah habis sesi persekolahan, aku dilanggar oleh sebuah basikal yang ditunggang oleh seorang budak sekolah menengah. Tiada kecederaan serius pada diriku tetapi itulah peristiwa kemalangan KALI PERTAMA.

BERJAUHAN – belajar dengan agak baik dan dengan keputusan cemerlang semasa Penilaian Darjah Lima, aku ditempatkan di sebuah sekolah berasrama. Walaupun panggilan pertama berjaya aku abaikan kerana tidak mahu berpisah dengan ibubapa, surat panggilan kali kedua tetap sampai ke rumah dan aku tiada pilihan. Semasa usia belum menjangkau 13 tahun, aku bersedih kerana terpaksa hidup berjauhan dengan ibubapa dan itulah KALI PERTAMA.

airline-1209009_1280
Menaiki kapal terbang umur 16 tahun – Hiasan

KAPAL TERBANG – sewaktu di Tingkatan Empat dan berusia 16 tahun, aku terpilih mewakili negeriku ke Kota Kinabalu, Sabah untuk Program Integrasi Nasional. Ditemani seorang pegawai daripada Jabatan Pendidikan Negeri, aku terlalu gembira dan bersyukur kerana program itu berlangsung di Sabah justeru itu mesti ke sana menaiki kapal terbang dan itulah KALI PERTAMA.

swimming-1272538_640
Berenang umur 18 tahun – Hiasan

BERENANG – berangan nak jadi seaman atau pelaut mestilah tahu berenang demi
keselamatan diri sendiri. Kesungguhan dan kecekalan berlatih sambil diherdik jurulatih renang akhirnya membuahkan hasil semasa berumur 18 tahun apabila aku pandai berenang dan itulah KALI PERTAMA.

KAPAL LAYAR – sewaktu musim cuti semasa di Akademi Laut Malaysia, aku bersama beberapa rakan di bawah tajaan MISC telah dihantar ke Lumut, Perak untuk menyertai kursus bina diri di atas sebuah kapal layar. Sewaktu berumur 18 tahun, Kapal Layar Di Raja Tunas Samudera menjadi lapangan kami beramai-ramai belajar mengendali kapal layar bersama-sama beberapa pelatih daripada organisasi lain dan itulah KALI PERTAMA.

tunas-samudera
Kapal Layar Di Raja Tunas Samudera

KAPAL KARGO – tamat menimba ilmu di ALAM, aku ditugaskan di kapal Motor Vessel (MV) Bunga Kenari di mana kehidupan serta kerjaya sebagai pelaut bermula semasa berumur 19 tahun dan itulah KALI PERTAMA.

MEROKOK – kehidupan di dalam keluarga bergantung dengan getah dan susu lembu sebagai punca pendapatan, merokok memang tiada dalam kamus hidupku sewaktu di alam persekolahan. Belayar di atas kapal pertama dengan pendapatan sendiri daripada elaun kadet yang tidak seberapa jumlahnya, aku mula merokok Marlboro dan itulah KALI PERTAMA.

 

port-of-fremantle

Pelabuhan Fremantle, Perth Australia (gambar daripada spiritland.net)

KE LUAR NEGARA – pelabuhan pertama disinggah (selepas Pelabuhan Keppel di Singapura) adalah Port of Fremantle, Perth Australia. Terasa seperti menonton television rancangan Mac Gyver bilamana aku turun ke bandar Fremantle untuk bersiar-siar di usia 19 tahun. Kenapa? Sebab aku berada di negara Mat Saleh, disekeliling aku adalah Mat Saleh dan itulah KALI PERTAMA.

TAMAN BERWARNA WARNI – membesar semasa zaman drama bersiri OSHIN pertama kali ditayangkan di Malaysia, ketaksuban kepada negara Jepun dengan pokok yang daun-daun dan bunganya berwarna warni tidak dapat dielakkan. Jadi, pada usia 21 tahun impian ke negara Oshin melihat keindahan alam akhirnya tercapai melalui kerjaya seaman dan itulah KALI PERTAMA.

japanese-1409839_1280
Jepun semasa berusia 21 tahu – Hiasan

SUEZ CANAL – belajar subjek Geografi atau Sejarah di sekolah, nama Terusan Suez iaitu sebuah terusan buatan manusia terpanjang di dunia, senang sangat namanya diingati. Sebagai pelaut, aku berpeluang melalui terusan tersebut ketika berkhidmat di atas kapal MV Bunga Tanjung dan itulah KALI PERTAMA.

 

LESEN KELAS D – semasa berusia 22 tahun, bermodalkan duit elaun latihan semasa berkursus 3rd Mate dan 2nd Mate (Foreign Going) di ALAM, aku meluangkan masa belajar memandu dengan kos RM400 untuk kelas D sahaja. Semacam born to drive (dilahirkan untuk, memandu), aku segera lulus dengan latihan yang minimum bagi mendapatkan lesen kereta dan itulah KALI PERTAMA.

gh388-ericsson
Ericsson GH338

TELEFON BIMBIT – sewaktu berkhidmat sebagai Cargo Surveyor di usia 23 tahun, skop kerjanya sentiasa memerlukan aku outstation ke Pelabuhan Selatan dan juga Pelabuhan Utara, Port Kelang. Penggunaan telefon bimbit adalah satu keperluan. Aku membeli telefon bimbit model Ericsson GH388 untuk memudahkan komunikasi dan itulah KALI PERTAMA.

MOTORSIKAL – pengangkutan adalah satu keperluan kepada diriku yang kerap kali bertugas di luar pejabat. Setelah aku menerima tawaran kerja daripada syarikat SGS (M) Sdn Bhd, aku membeli motorsikal TZM150 sebagai kenderaan untuk kerjaya baru dan itu KALI PERTAMA.

KAPAL PERSIARAN – Ketika berkhidmat dengan Star Cruise di LIMA Langkawi pada usia 24 tahun, kami ditempatkan untuk bermalam di atas sebuah kapal persiaran. Kapal tersebut berlabuh di Jeti Star Cruise Tanjung Malai Langkawi sebagai floating hotel untuk pelawat-pelawat acara dwi-tahunan itu dan aku menginap sama. Itulah KALI PERTAMA.

KERETA – semasa berusia 28 tahun iaitu setelah setahun aku bekerja dengan sebuah syarikat 30 km jauhnya dari rumahku, aku membeli kereta untuk pengangkutan ke tempat kerja ketika musim hujan dan itulah KALI PERTAMA.

LESEN KELAS B – keputusan membeli sebuah motorsikal terpakai bersesaran 650cc memaksa aku untuk mendapatkan  lesen Kelas B Full walaupun sebenarnya pembelian kenderaan tidak memerlukan lesen. Jika sebelum itu, menunggang motor dan memandu kereta dengan hanya memiliki lesen Kelas D (kereta), lesen motor sulung aku adalah Lesen B Full dan itulah KALI PERTAMA.

Kesimpulan?

Kalau mahu disenaraikan satu persatu terlalu banyak peristiwa di dalam hidup kita ni. Setiap peristiwa ‘kali pertama’ akan membawa satu kenangan manis atau pahit. Sematkan apa sahaja kenangan itu sebagai panduan untuk menghadapi segala peristiwa lain mahupun peristiwa yang sama di hadapan kita.

Pengajaran?

Setiap ‘kali pertama’ mesti dijadikan target atau taraf atau panduan yang mesti dicapai sekiranya kita melalui peristiwa tersebut untuk kali kedua.

Contoh 1 – kali pertama kau menduduki SPM kau gagal. Sekiranya kau mengulang (re-sit) pastikan kali kedua itu kau lulus.

Contoh 2 – sekiranya kau lewat sampai ke sekolah sewaktu hari hujan dan didenda pertama kalinya. Pastikan selepas itu walaupun di hari hujan kau tidak lewat sampai dan tidak di denda untuk kali keduanya.

Contoh 3 – sekiranya pelajaran kau merosot buat pertama kalinya disebabkan putus cinta. Pastikan jangan merosot untuk kali kedua disebabkan putus cinta atau tangguhkan dulu main-main cinta.

Contoh 4 – sekiranya buat pertama kali rumahtangga kau bergoncang disebabkan orang ketiga. Pastikan di kali kedua tiada orang ketiga di dalam hidup kau.

Apa komen kau berkaitan kali pertama ni? Sekiranya mahu bercerita panjang, sila ke menu di atas untuk Hantar Artikel.

Sehingga di lain masa, ketahuilah bahawa sememangnya Kau Insan Mulia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This div height required for enabling the sticky sidebar
Ad Clicks : Ad Views : Ad Clicks : Ad Views : Ad Clicks : Ad Views : Ad Clicks : Ad Views : Ad Clicks : Ad Views : Ad Clicks : Ad Views : Ad Clicks : Ad Views : Ad Clicks : Ad Views : Ad Clicks : Ad Views : Ad Clicks : Ad Views : Ad Clicks : Ad Views : Ad Clicks : Ad Views : Ad Clicks : Ad Views : Ad Clicks : Ad Views : Ad Clicks : Ad Views :